Kajian ini meneliti fenomena kemiskinan feminisme dalam kalangan gelandangan wanita bekas banduan di kawasan Chow Kit, Kuala Lumpur, menerusi lensa sukarelawan yang aktif membantu komuniti tersebut. Fenomena ini mencerminkan bentuk kemiskinan berasaskan gender yang kompleks, di mana faktor seperti jantina, status sosial, rekod jenayah, dan stigma masyarakat saling berinteraksi membentuk kitaran kemiskinan dan pengasingan sosial. Menggunakan reka bentuk kajian kualitatif, data diperoleh melalui temu bual mendalam dengan enam orang sukarelawan yang terlibat secara langsung dengan komuniti gelandangan. Analisis data dijalankan menggunakan kaedah analisis tematik, berpaksikan teori Intersectionality dan Feminist Standpoint Theory bagi meneliti bagaimana identiti berganda mempengaruhi pengalaman gelandangan residivis wanita. Dapatan kajian menunjukkan bahawa kemiskinan feminisme dalam kalangan gelandangan residivis wanita tidak hanya berpunca daripada kekurangan ekonomi, tetapi turut dipacu oleh diskriminasi berasaskan gender, stigma terhadap rekod jenayah, dan ketiadaan sistem sokongan sosial. Penemuan ini sejajar dengan dapatan antarabangsa yang menunjukkan bahawa gelandangan residivis wanita berdepan marginalisasi berlapis, termasuk sekatan terhadap pekerjaan formal, diskriminasi dalam akses kesihatan, dan eksploitasi ekonomi. Sukarelawan mendapati bahawa gelandangan residivis wanita sering menghadapi halangan dalam mendapatkan pekerjaan, tempat tinggal tetap, dan akses kepada perkhidmatan kesihatan. Pengalaman gelandangan residivis wanita di Chow Kit memperlihatkan bagaimana tekanan ekonomi, penolakan keluarga, dan stereotaip gender memperkukuh struktur patriarki yang menindas. Justeru, kajian ini menegaskan keperluan kepada dasar sosial dan intervensi awam yang lebih berkeadilan gender, inklusif, serta berpaksikan hak asasi manusia bagi membantu proses pemberdayaan, pemulihan dan integrasi semula gelandangan residivis wanita dalam masyarakat bandar Malaysia.