Kerja pembersihan telah menjadi satu pintu kepada punca pendapatan warga tempatan untuk meneruskan kelangsungan hidup. Walaupun pekerjaan ini mempunyai stigma yang negatif, warga tempatan masih meneruskan kerjaya yang diceburi sebagai janitor untuk menjana pendapatan. Kajian ini dibuat untuk mengenalpasti layanan yang diterima oleh pekerja janitor Melayu yang menceburi sektor pembersihan serta menganalisis strategi yang digunakan oleh janitor Melayu untuk mengatasi masalah yang dihadapi dalam sektor pembersihan ini. Kajian ini menggunakan kaedah kualitatif iaitu pemerhatian turut serta dan juga temu bual terperinci kepada tiga kumpulan sasaran yang terlibat dalam sektor pembersihan. Penganalisisan data dibuat berdasarkan kepada transkripsi hasil temu bual dan juga pemerhatian secara turut serta. Didapati hasil kajian menunjukkan bahawa layanan negatif yang diberikan oleh masyarakat telah menyebabkan janitor ini merasakan kerja yang dibuat tidak dihargai dan tidak penting pada pandangan masyarakat. Justeru itu, strategi yang digunakan oleh janitor ini telah membantu janitor untuk mengekang masalah yang dihadapi dalam sektor pembersihan ini.
30 September 2023 in Malaysian Journal of Social Sciences and Humanities (MJSSH)
Kajian ini meneliti impak COVID-19 terhadap pekerja pembersihan warganegara tempatan yang telah disediakan oleh syarikat-syarikat yang menyediakan perkhidmatan pembersihan di Malaysia. Tujuan kajian ini adalah untuk meneliti impak COVID-19 terhadap syarikat dan pekerja pembersihan warganegara tempatan yang berada di Lembah Klang. Tujuan lain ialah menganalisis cara yang diambil untuk mengatasi halangan disebabkan peraturan semasa COVID-19 oleh syarikat dan pekerja sektor pembersihan. Pendekatan yang digunakan dalam kajian ini ialah pendekatan kualitatif melibatkan temu bual terhadap dua pihak. Pihak pertama ialah majikan yang membekalkan perkhidmatan pekerja manakala pihak kedua ialah pekerja pembersihan yang bekerja di syarikat tersebut. Sebanyak 3 buah syarikat yang membekalkan pekerja pembersihan tempatan dan seramai 10 orang informan yang bekerja sebagai pekerja pembersihan yang dikenal pasti telah dipilih dalam melakukan kajian ini. Hasil kajian menunjukkan terdapat perubahan pola penyertaan orang tempatan kepada sektor pembersihan dan cara yang digunakan oleh pekerja pembersihan tempatan untuk mengatasi kekangan bekerja semasa berada dalam fasa pandemik.