15 March 2026 in International Journal of Law, Government and Communication
Kesunyian atau loneliness bukan sekadar pengalaman psikologi individu, tetapi semakin jelas merupakan fenomena peradaban. Dalam konteks modeniti, manusia hidup dalam dunia yang semakin terhubung melalui teknologi digital, urbanisasi dan globalisasi. Namun pada masa yang sama manusia mengalami kehidupan terasing atau kesunyian yang semakin mendalam. Artikel ini membincangkan kesunyian yang dihadapi oleh individu sebagai paradoks peradaban moden iaitu suatu keadaan ketika era kemajuan material dan teknologi perhubungan berlaku tetapi tidak menjamin kewujudan interaksi dan hubungan sosial yang bermakna pada sesetengah individu. Sehubungan itu, perbincangan dilakukan bagi mengenalpasti apakah faktor-faktor fundamental yang menyebabkan keadaan ini berlaku dan bagaimana untuk mengatasinya. Analisis dilakukan dengan menggunakan pendekatan falsafah sosiologi dengan meneliti pandangan klasik Émile Durkheim mengenai anomie dan analisis Zygmunt Bauman tentang liquid modernity terhadap masyarakat moden. Analisis ini menunjukkan bahawa kesunyian adalah cerminan krisis individualisme dan perubahan struktur sosial, teknologi digital dan media sosial serta ekonomi dan globalisasi. Memahami kesunyian sebagai fenomena peradaban dapat membuka ruang untuk membina semula asas solidariti sosial, nilai spiritual dan identiti kolektif. Ia juga memberikan sumbangan baharu kepada wacana peradaban dengan mengangkat kesunyian merupakan masalah individu yang menjadi tanda rapuhnya asas kemanusiaan dalam peradaban moden.